Terpanggil saya untuk menulis nota ini adalah kerana saya ingin meluahkan perasaan saya yang selama ini terpendam. Sebelum ia menjadi lebih parah adalah wajar rasanya untuk saya menulis nota ini dan saya rasa tidak menjadi kesalahan besar bagi saya untuk menulis nota ini kerana kita hidup di dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi terpimpin.
Izinkan untuk saya meluahkan pendapat dan pandangan saya. Pandangan dari seorang budak mentah, dan seorang remaja yang biasa dan tidak pernah naik ke pentas untuk mengambil apa-apa anugerah kecemerlangan akademik. Mungkin pihak kolej terfikir, apalah ada pada pandangan dari seorang budak mentah yang tidak cemerlang dalam akademiknya. Sudahlah tidak cemerlang dalam pelajaran, cuba berlagak pandai untuk menyuarakan pendapatnya. Tapi pihak kolej harus ingat, nota yang ditulis ini bukan sahaja dari perasaan seorang budak mentah yang tidak cemerlang ini, akan tetapi ia adalah suara majoriti daripada warga pelajar kolej profesional mara indera mahkota.
Pada hari pertama saya menjejakkan kaki ke kolej ini saya meletakkan harapan yang besar,kerana apa?ini adalah kerana dari nama kolej itu sendiri,iaitu KOLEJ PROFESIONAL MARA. kerana perkataan PROFESIONAL itu menggambarkan sesuatu yang begitu tinggi tarafnya yang tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata. Saya rasa bersyukur kerana dapat menjadi salah satu ahli keluarga di dalam kolej professional mara tambahan pula diperuntukkan dengan elaun yang bernilai rm265 berbanding dengan kolej atau universiti yang lain hanya diperuntukan dengan pinjaman yang bernilai beribu-ribu ringgit dan membebankan pelajar.
Pihak kolej yang dihormati, menjadi pemimpin bukanlah suatu perkara yang mudah. Tidak pernah ia menjadi mudah, dan tidak pula ia boleh diambil mudah. Ia adalah persoalan yang besar dan penting. Perkara yang tinggi di letakkan di dalam islam."Kepimpinan adalah amanah, celaan di dunia, dan penyesalan di akhirat," begitu sabda nabi Muhammad SAW. Pelajar yang tidak cemerlang ini sedar akan perkara itu.
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan satu kes dimana seorang pelajar kolej profesional mara indera mahkota begitu lantang mencela dan menghina kolej kerana mewajibkan para pelajar untuk menghadiri ceramah yang dianjurkan oleh pihak kolej. Tidaklah pula saya katakan disini bahawa saya bersetuju dengan tindakan yang dibuat oleh pelajar itu sendiri. Akan tetapi itu adalah satu luahan hati atas rasa ketidakpuashatian pelajar itu menyuarakan pendapatnya.Mungkin metod atau cara yang digunakan agak melampau dan tidak bersesuaian. Mungkin kerana dia adalah pelajar baru yang belum mahir dengan taktik serta selok belok undang-undang kolej. Akan tetapi bagi saya, seorang pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik dan sudah berada selama satu tahun setengah di kolej tempoh itu sudah cukup untuk saya mengetahui tentang susur galur undang-undang kolej. Pihak kolej tidak perlu risau, kerana saya sudah menasihatkan pelajar itu.
Mengapa perkara ini boleh terjadi? Itu yang menjadi persoalan di sini. Apa sahaja majlis yang dianjurkan oleh kolej,warga pelajar diwajibkan untuk hadir dan memberikan sokongan. Bagaimana pula dengan majlis-majlis yang dianjurkan oleh para pelajar? Adakah pihak kolej memberi sokongan terhadap majlis-majlis yang dianjurkan oleh pelajar?mungkin pihak kolej lebih arif dalam perkara dan mempunyai alasan yang kukuh untuk menjelaskan perkara ini. Kerana pihak kolej selalunya memikirkan tentang kebaikan dan menjaga kebajikan pelajar-pelajarnya. Kami sebagai pelajar berterima kasih kepada pihak kolej kerana sentiasa menjaga kebajikan pelajarnya.
Bagaimana pula dengan isu waktu pulang outing pada hari jumaat?Sebelum ini kami difahamkan bahawa undang-undang ini bersifat sementara. Tempoh percubaan yang diberikan adalah selama sebulan.Adakah sementara di sini membawa maksud bertahun-tahun atau bersifat selamanya?Tetapi kami tidak kisah sedikit pun dengan perkara ini, kami cuba mengadaptasikannya ke dalam kehidupan kami di kolej ini. Ia tidak menjadi perkara yang besar.Saya memohon maaf sekiranya nukilan ini mengguris hati mana-mana pihak. Saya pelajar yang kurang cemerlang ini tidak bermaksud ke arah itu. Kerana saya yakin kolej sentiasa menyajikan yang terbaik kepada para pelajarnya.
Akhir kata dari saya, bak kata pepatah diluah mati emak ditelan mati bapak. Walaupun pahit ku telan jua. Ini adalah metafora yang dapat saya berikan tentang gambaran kehidupan saya selama saya berada di kolej ini. Sejuta kemaafan dipohon. Bukan bermaksud saya tidak bersyukur selama saya berada di sini akan tetapi adatlah di dalam satu institusi keluarga dimana adanya pasang surut di dalam hubungan itu sendiri. Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula hubungan kita adik beradik.
Mungkin nota ini sampai kepada pengetahuan pihak kolej, mungkin juga tidak. Sekiranya ia sampai ke pengetahuan pihak kolej, saya pelajar yang kurang cemerlang akalnya dahulukan dengan ucapan maaf mungkin ada kesilapan saya sepanjang menulis nota ini. Maklumlah, saya muda remaja serta masih mentah.Mungkin ada salah silap dari lenggok bahasanya. Ribuan terima kasih saya ucapkan sekiranya nukilan saya ini dipandang berat oleh pihak kolej, di dalam kesibukkan mentadbir kolej yang gah ini.Anda semua masih mampu meluangkan sedikit masa untuk membaca coretan atau luahan hati dari saya. Itu adalah satu penghormatan buat remaja mentah seperti saya. Namun harus diingat oleh pihak kolej, kita hidup di dalam negara yang mengamalkan sistem DEMOKRASI TERPIMPIN.
SUARA KAMI ADALAH PENCAK KAMI.

No comments:
Post a Comment